September 24, 2019
PUTRAJAYA 24 Sept. - Malaysia menyasarkan kedatangan sebanyak 728,000 pelancong dari India sempena Tahun Melawat Malaysia (TMM) 2020.
Bagi mempromosikan Malaysia dalam kalangan rakyat India, Tourism Malaysia dengan kerjasama
Persatuan Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA) telah mengadakan jerayawara atau roadshow di empat bandar utama negara itu kelmarin.
Majlis pelancarannya telah diadakan di Ramada Plaza Hotel, Chennai oleh Pengurus Kanan Tourism Malaysia, Muhammad Taib Ibrahim dan Presiden MATTA, Datuk Tan Kok Liang.
Selain Chennai, promosi itu yang bermula semalam hingga Khamis ini, turut menyasarkan kalangan pelancong India di bandar Madurai, Coimbatore dan Cochin.
Menurut kenyataan Tourism Malaysia hari ini, kempen tersebut turut disertai oleh 21 ejen pelancongan, tiga pemilik produk, Hotel Seri Pacific Kuala Lumpur, Malindo Air dan Lembaga Pelancongan Sarawak yang akan mempromosikan TMM 2020 secara agresif.
Jelasnya, kempen itu turut dibantu oleh pejabat Tourism Malaysia di Mumbai, Delhi dan Chennai.
"Pelancongan di Malaysia berkembang baik dengan kedatangan memberangsangkan pelancong," kata Muhammad Taib pada majlis itu.
Menurut kenyataan itu lagi, sepanjang tempoh Januari hingga Jun 2019, kedatangan pelancong asing ke negara ini meningkat sebanyak 4.9 peratus kepada 13,354,575 orang daripada 12,730,368 tahun 2018
Tambahnya, kempen TMM 2020 di India bermatlamat menyediakan platform kepada syarikat-syarikat Malaysia bertemu pembeli berpotensi selain mengukuhkan jalinan kerjasama antara ejen pelancongan, ejwn pelancongan online, persatuan pelancongan dan media.
"Kempen promosi TM2020 menyasarkan India sebagai antara pasaran berpotensi. Tahun 2018, seramai 600,311 pelancong India melawat Malaysia dengan pwndapatan RM2.7 bilion.
" Statistik antara Januari hingga Jun 2019 menunjukkan seramai 354,486 pelancongan India melawat negara ini, meningkat 15.2 peratus berbanding tempoh sama tahun lalu," jelas kenyataan itu.
Malaysia menyasarkan kedatangan sebanyak 30 juta pelancong asing dengan pendapatan sebanyak RM100 bilion sepanjang TMM 2020. - UTUSAN ONLINE
Unique Tour Operator - Kota Kinabalu, Malaysia 2016
Best M.I.C.E. Agents 2015/16
Customer Favourite Awards 2015 Europcar Kota Kinabalu Airport
Best Local Tour Operator (Domestic) 2014/15
Best Inbound Tour Operator 2011/12